19 Amalan Murah Rezeki
Anda mungkin tertanya-tanya apakah amalan murah rezeki yang boleh dilakukan. Sebenarnya ada banyak cara untuk menjemput rezeki.
Tahukah anda rezeki bukan hanya tertakluk kepada wang ringgit? Akan tetapi ada kesihatan yang baik, anak yang sihat, jodoh yang beragama juga boleh dikatakan rezeki.
Kita minta doa murah rezeki dan Allah kurniakan selain wang ringgit. Tanpa sedar kita mengeluh mengapa rezeki masih lagi sempit. Sedangkan Allah datangkan rezeki dalam pelbagai bentuk (bukan hanya wang ringgit) yang tidak kita sedari.
Untuk itu, kita sebagai makhluk haruslah sentiasa merasa syukur dalam hidup. Kerana bila bersyukur, Allah akan berikan lebih lagi.
Jadi, apakah amalan menjemput rezeki yang kita boleh lakukan? Amalan murah rezeki ini tidak hanya untuk mendapatkan harta kekayaan, tapi juga apa saja perkara baik yang anda inginkan seperti mendapat anak.
19 Amalan Murah Rezeki
Ini adalah amalan menjemput rezeki yang baik untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.
#1. Sedekah
Bagi yang sedang mengalami masalah kewangan, anda mungkin rasakan sukar untuk memberi sedekah wang ringgit.
Tapi, sedekah bukan saja dengan wang ringgit. Anda boleh juga sedekahkan ilmu, barang atau makanan.
Sedekah juga tidak semestinya memberi dengan jumlah wang yang banyak. Memberi RM1 juga boleh asalkan seikhlas hati.
Percayalah, setiap pemberian akan Allah ganti berkali ganda.
Jadikan sedekah sebagai amalan harian atau mingguan.
Pada masa kini nak bersedekah tidak susah. Online pun boleh. Buat pindahan ke akaun pihak yang ingin anda sedekah.
#2. Banyakkan berzikir
Banyakkan berzikir juga antara amalan murah rezeki.
Amalan zikir murah rezeki harian
- Istighfar 100 kali sehari
- Selawat 1000 kali sehari
Untuk memudahkan amalan berselawat, lakukan setiap kali selepas solat.
250 selawat setiap waktu. Cukup 5 waktu, maka cukuplah 1000 selawat.
#3. Solat Dhuha
Solat Dhuha adalah solat sunat yang sering dijadikan sebutan sebagai amalan murah rezeki.
Waktu solat Dhuha dari terbit matahari (selepas waktu Syuruk) sehingga sebelum tergelincir matahari (sebelum waktu Zohor).
Solat Dhuha boleh dilakukan 2 rakaat paling sikit dan 12 rakaat paling banyak.
Selepas solat, bacakan doa ini.
Doa Solat Dhuha
#4. Membantu menunaikan hajat orang lain
Rasululluah s.a.w. bersabda,
“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya” (Hadis Riwayat Muslim)
Oleh itu, jika anda bantu menunaikan hajat orang lain, Allah akan luaskan rezeki dan penuhi hajat anda.
#5. Menjauhi dosa
Sentiasa berusaha untuk tidak melakukan perkara maksiat. Sebagai umat Islam, kita wajib meninggalkan perkara yang boleh membuat dosa terutamanya dosa besar.
Beringat selalu bahawa Allah tahu apa saja yang kita lakukan. Melakukan dosa bukan saja membuatkan hidup tidak tenang tapi juga ditutup pintu rezeki.
Rasulullah s.a.w bersabda,
“.. dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)
#6. Tidak meninggalkan suruhan Allah
Perkara yang diperintah Allah seperti solat 5 waktu adalah wajib untuk kita lakukan.
Tiada alasan penat atau malas untuk melaksanakan suruhan Allah.
Ia bukan saja amalan murah rezeki tapi ibadah yang wajib dilakukan.
Seperti firman Allah dalam hadis qudsi yang bermaksud,
“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembahku nescaya aku membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu”. (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah, dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a)
#7. Membaca doa murah rezeki
Ini doa murah rezeki yang dibacakan Rasulullah s.a.w. kepada Anas bin Malik RA.
اَللَّهُمَّ أَكْثِرْ مَالَهُ وَوَلَدَهُ ووالسع له في داره وَبَارِكْ لَهُ فيما اعطيته واحسن اعماله والغفرله
Doa murah rezeki dalam rumi: Allahumma aksir maalahu wa waladahu, wa wassi’ lahu fi darihi, wa bariklahu fi ma a’toitahu, wa ahsin a’malahu, warghfirlahu.
Maksudnya: Ya Allah, perbanyakkanlah hartanya dan anak-anak-anaknya dan luaskanlah rumahnya dan berkatilah apa yg telah engkau kurniakan kepadanya dan perbaikilah amalannya dan ampunkan untuknya.
Sila gantikan dhomir yang bersesuaian jika anda nak bacakan doa ini kepada diri sendiri atau orang perempuan.
#8. Membuat kebajikan
Banyakkan membuat kebajikan dengan membantu orang yang lemah seperti fakir miskin, orang tua, orang kurang upaya, orang sakit dan sesiapa saja yang memerlukan bantuan.
Nabi s.a.w bersabda,
“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Oleh itu, selalu ringankan tulang untuk membantu mereka yang memerlukan supaya dibuka pintu rezeki seluas-luasnya kepada anda yang membantu.
#9. Memuliakan tetamu yang datang ke rumah
Berikan layanan sebaik mungkin kepada orang yang datang menziarah ke rumah. Ia boleh menjadi punca dilapangkan rezeki.
Sepertimana wasiat Rasulullah s.a.w. kepada Saidina Ali,
“Wahai Ali! Anjurkanlah berbuat baik kepada mereka yang sedang ceria wajahnya. Dan hormatilah tetamu sebab rezeki tetamu yang singgah ke rumah seseorang pun ikut singgah di situ.
Dan kalau ia meninggalkan rumah itu, dosa penghuni rumah itu lenyap bersama kepergian tetamu tersebut. Lalu terhapuslah dosa-dosa itu jauh di tengah lautan.”
#10. Sentiasa bersyukur
Ucapkan rasa syukur ketika kita mendapat nikmat dan rezeki dari Allah. Mengucapkan syukur menunjukkan tanda kita sentiasa mengingati Allah walau dalam apa jua keadaan.
Allah berfirman dalam Surah Ibrahim, ayat 7,
“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.”
#11. Selalu berdoa kepada Allah
Amalan murah rezeki seterusnya adalah tidak berputus asa memohon doa kepada Allah. Mungkin anda rasakan telah penat berdoa, tapi masih lagi dibelenggu masalah. Doa kepada Allah supaya dimurahkan rezeki dan doa dipermudahkan urusan.
Adakalanya doa kita lambat dimakbulkan kerana Tuhan nak melihat sejauh mana kesabaran dan kesungguhan kita.
Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Hanya Dia yang tahu waktu yang terbaik untuk kita dapat apa yang dihajati.
Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. masuk ke masjid lalu terserempak seorang yang dipanggil Abu Umamah. Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya: “Wahai Abu Umamah, aku lihat engkau duduk di masjid bukan pada waktu solat, kenapa?”
Jawab Abu Umamah: “Dukacita dan hutang menyelubungiku, wahai Rasulullah!”
Jawab Rasulullah: “Mahukah kamu aku ajarkan suatu bacaan jika kamu membacanya Allah akan menghilangkan rasa dukacitamu dan melangsaikan hutangmu.”
Abu Umamah menjawab: “Ya, wahai Rasulullah.”
Baginda bersabda: “Apabila tiba waktu pagi dan petang bacalah: “Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada dukacita dan rasa sedih; aku berlindung dengan-Mu daripada lemah dan malas; aku berlindung dengan-Mu daripada sifat pengecut dan bakhil; dan aku berlindung dengan-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan orang.”
Kata Abu Umamah: “Aku membaca doa tersebut, lalu Allah menghilangkan rasa dukacitaku dan melangsaikan hutangku.” (Hadis Riwayat Abu Daud daripada Abu Said al-Khudri)
#12. Mengeratkan hubungan silaturahim
Kita hendaklah menjaga hubungan baik yang terjalin sesama manusia. Bertanya khabar kepada saudara dan rakan yang telah lama tidak bertemu.
Rasulullah s.a.w bersabda,
“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya (menjalini silaturahim)” (Hadis Riwayat Bukhari)
#13. Berbuat baik dan berdoa kepada ibu bapa
Sebagai anak kita hendaklah sentiasa berdoa untuk ibu bapa. Tidak kiralah sama ada mereka masih hidup atau telah meninggal dunia.
Mereka yang melahirkan dan membesarkan kita. Selain doa, sentiasa berbuat baik kepada ibu bapa. Bukan hanya mengingati mereka di saat kita dalam kesusahan.
Sepertimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud,
“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah) daripadanya.”(Riwayat Al-Hakim dan Ad-Dailami)
#14. Sentiasa mengingati Allah
Andai hati selalu resah dan tidak tenang. Ingatlah sentiasa kepada Allah. Ia adalah rezeki yang Allah berikan kepada orang yang beriman.
Seperti sabda-Nya,
“(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)
#15. Bangun di awal pagi
Bangun di awal pagi, tunaikan solat Subuh dan mulakan hari dengan segar dan tenang. InsyaAllah rezeki pun senang nak masuk.
#16. Kekalkan diri dalam keadaan berwuduk
Ketika seorang Arab bertemu Rasulullah s.a.w untuk meminta pendapat tentang rezeki, baginda bersabda,
“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)
#17. Mengamalkan solat Tahajud
Bangun di sepertiga malam untuk menunaikan solat Tahajud. Waktu yang tenang untuk beribadah dan berdoa kepada Allah. InsyaAllah dimakbulkan doa murah rezeki.
#18. Berusaha
Untuk dimurahkan rezeki, anda juga perlu rajin berusaha. Allah akan berikan rezeki kepada sesiapa sahaja yang berusaha tidak kira agama.
Riwayat dalam hadis sahih,
Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)
#19. Tawakal
Setelah segala usaha dan doa dilakukan, akhir sekali adalah bertawakal kepada Allah. Amalan murah rezeki ini adalah tanda kita kepercayaan dan penyerahan kita sebulat-bulatnya kepada Allah.
Allah berfirman,
“Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya).” (Surah At-Thalaq ayat 3)
Rasulullah s.a.w. bersabda :
“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia di pagi hari lapar dan di petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab)
Akhir Kata
Sebagai Muslim, amalan murah rezeki di atas membawa kepada ketakwaan kepada Allah.
Takwa yang membawa maksud ketaatan kepada perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.
Dengan takwa, Allah akan beri jalan keluar dari segala perkara yang menyusahkan dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3)
Semoga perkongsian amalan murah rezeki ini membawa manfaat kepada anda dan sama-sama kita melaksanakannya.